Biar ada yang skeptikal dan melihat keputusan memeluk Islam kerana mahu berkahwin dengan Akim, Stacy tidak mampu menepis apa sahaja tanggapan orang.
Katanya cukup dia, Akim dan keluarga serta teman terdekat tahu apa yang tersirat di hati. Ternyata majlis pertunangan Stacy dan Akim yang berlangsung 26 September lalu Amber Hills, Melawati mengejutkan ramai pihak kerana ia seolah-olah memperlihatkan bahawa keputusan memeluk Islam itu didorongi oleh Akim sendiri.
Pasangan ini memberi tempoh setahun untuk melangsungkan pernikahan.
"Saya sedar berita pertunangan akan membuatkan orang berfikir macam-macam. Tapi ibu bapa saya sendiri cakap tak perlu fikir apa pandangan orang, cukup niat kita ini Tuhan sahaja maha mengetahui.
"Lagipun seperti Akim katakan, tak salah untuk kami bertunang kerana sudah enam tahun berkawan. Tak manis untuk kami masih bersama dan ditambah pula saya sudah memeluk Islam, tak salah juga niat yang baik diteruskan.
"Ia boleh mengelak fitnah. Namun berbalik kepada jodoh saya dengan Akim, kita hanya mampu merancang. Tak tahu apa akan terjadi kelak. Semoga lancar seperti yang diharapkan. Saya sendiri mengharapkan penamat terbaik untuk hubungan ini. Akim juga boleh berada di sisi saya membimbing ke jalan yang diredai. Insya-Allah," katanya.
Ketika ini, Stacy juga memberitahu dia kembali tenang seperti sedia kala. Sewaktu awal memeluk Islam, tekanan luar banyak membuatkan dirinya lemah semangat.
"Buat masa sekarang saya banyak habiskan masa lapang untuk terus belajar menghayati Islam dengan sebenar-benarnya. Saya banyak membaca dan menghafal surah. Kebiasaannya saya belajar sendiri di rumah. Paling penting saya juga belajar bersolat," katanya.
0 comments:
Post a Comment